spot_img
HomePolitikBN setia bersama kepimpinan PM - Tan Sri Annuar Musa

BN setia bersama kepimpinan PM – Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kekal istiqamah untuk bersama-sama kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata parti itu akan terus bersama kerajaan yang diperkenankan.

“Permuafakatan terus diperkasakan. Pastinya ia mengecewakan Pakatan Harapan (PH).

“Yang silap, kita perbetulkan, yang lemah boleh diperkasakan, yang renggang kita rapatkan… bersama, kita memimpin… mohon kerahmatan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter beliau, hari ini.

Annuar turut menjelaskan, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap hari, sekali gus memantau dan mengarahkan setiap perincian.

“Kuat bekerja, tekun dan sabar serta sentiasa berdoa kepada Allah ialah antara sifat terpuji dalam memimpin. Allah memberkati….,” katanya.

Malam tadi, UMNO memutuskan untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Menara Dato’ Onn, di sini.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu berkata, UMNO juga menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.

Menerusi satu ciapan berasingan pada awal pagi tadi, Annuar memaklumkan bahawa sepanjang tempoh 29 tahun menganggotai MKT UMNO, beliau menyaksikan pelbagai episod perbincangan penting.

“UMNO sentiasa mempamerkan wisdom (kebijaksanaan). Malam ini (malam tadi) satu daripadanya… tenang…,” katanya.

Melalui ciapan lanjut pada pagi tadi pula, Annuar berkata, istiqamah mempunyai makna besar dalam perjuangan.

“Usah gadai prinsip asas kerana UMNO itu satu wadah, bukan sekadar sebuah parti politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ahmad Zahid telah menakhodai bahtera UMNO dalam situasi paling mencabar.

“Walau tanpa pangkat dan kedudukan, beliau memimpin parti dan mengembalikan ke tampuk kuasa, memenangi PRK (pilihan raya kecil) serta PRN (pilihan raya negeri) secara berganda, dan parti kekal berperanan besar mensejahterakan negara,” katanya.

-beritaharian

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular