KOTA KINABALU: Kabinet negeri Sabah memutuskan untuk memotong sebanyak 50 peratus gaji semua menteri dan pembantu menteri selama dua bulan berkuat kuasa bulan ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah di sini semalam.
Menurutnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut melepaskan 30 peratus daripada gaji mereka selama sebulan.
Beliau berkata, semua pemotongan berkenaan akan dijadikan simpanan untuk digunakan sebagai dana membiayai pengurusan pandemik COVID-19.
“Kami dalam kerajaan GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, Hajiji turut mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 berjumlah RM120,469,481 dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19. -USBO


