spot_img
HomePolitikDakwaan Datuk Junz Wong tidak benar - PPM Lamag

Dakwaan Datuk Junz Wong tidak benar – PPM Lamag

KINABATANGAN: Tindakan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong memuatnaik sekeping gambar penyampaian bantuan yang diselaras oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag yang didakwa sedang menyerahkan bakul makanan kepada golongan berkemampuan adalah tidak benar.

Sebaliknya kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar menjelaskan, mereka ketika itu secara kebetulan berada di perkarangan salah satu rumah di taman perumahan terbabit untuk menyerahkan bakul makanan kepada penerima yang tersenarai dalam B40 dan e-Kasih di taman perumahan sama.

Jelas beliau lagi, pihaknya tidak menyedari gambar yang diambil berlatar belakangkan rumah penduduk lain dan bukan di rumah penerima kerana terlalu fokus dengan tugasan untuk mengagihkan bakul makanan yang perlu diagihkan pada hari terbabit dengan segera.

Justeru beliau memberi jaminan bantuan bakul makanan itu akan diagihkan seadilnya kepada golongan sasar yang layak dan bukan sebaliknya seperti yang didakwa Junz yang kononnya bantuan tersebut diberikan kepada golongan berkemampuan.

“Sememangnya bakul makanan ini diagihkan kepada golongan e-Kasih dan B40 namun mereka yang tidak tersenarai dalam kategori itu turut diberikan memandangkan mereka turut terjejas dan memerlukan bantuan lebih-lebih dalam situasi ketika ini.

“Waktu sebegini amat kritikal lebih-lebih lagi apabila kes COVID-19 melonjak menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung penularan pandemik.

“Ekoran itu bilangan rakyat yang terjejas bertambah sedikit dan bantuan yang disediakan ini turut diagihkan kepada golongan terkesan walaupun mereka bukan dalam kategori B40 dan e-Kasih. Namun kenyataan Junz yang mendakwa UPPM Lamag memberikan bakul makanan kepada penerima yang mempunyai ‘Ninja King’ sama sekali tidak benar kerana ia bukanlah penerima bantuan dan secara kebetulan berada di hadapan rumah itu, ” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar sekali lagi ingin menjelaskan kepada Junz sepaya tidak membangkitkan isu peruntukan UPPM kerana peranan UPPM dan PPM hanya menyelaras bantuan daripada kerajaan untuk disampaikan kepada penerima.

Jelas beliau, UPPM dan PPM tidak mempunyai peruntukan seperti yang didakwa sebaliknya cuma melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan untuk menyampaikan bantuan kepada penerima walaupun mengakui bakul makan tidak mencukupi.

Tambah Abu Bakar, Junz sepatutnya mencari alternatif yang lebih baik bagi membantu mereka yang terkesan daripada membazir masa melakukan fitnah dan berpolitik bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Berbeza dengan wakil rakyat kerajaan, pemimpin kita bertungkus-lumus mencari sumbangan daripada sektor korporat dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk menambah bilangan bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan sasar bagi memastikan tiada pihak yang tercicir.

“Wakil rakyat pembangkang pula sibuk membuat fitnah tanpa usul periksa, kemudian mempertikai semua perkara seolah-olah mereka boleh melakukan yang lebih baik padahal mereka tidak berbuat apa-apa untuk rakyat di kawasan, ” katanya.

Justeru Abu Bakar meminta Junz supaya menghentikan sebarang provokasi melampau dan mengenepikan soal berpolitik seketika sebaliknya meletakkan fokus terhadap usaha-usaha yang boleh membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik ini. –Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular