Sekalung Tahniah Kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
DEMI SABAH menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Musafafa Billah Shah atas perkenan Baginda melantik YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 setelah bermusyawarah dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada hari Jumaat bersamaan 20 Ogos 2021.
Kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, tahniah atas perlantikan yang penuh amanah ini. Selamat bertugas dengan jayanya dalam memikul tanggungjawab menyelesaikan tiga krisis utama yang sedang melanda negara pada hari ini iaitu politik, ekonomi dan kesihatan.
Semoga dengan berkat daulat Tuanku, Dato’ Sri dapat meredakan suhu politik negara dan memulihkan ekonomi agar kembali rancak dan sejahtera. Selain itu, kami juga berharap dengan pengalaman Dato’ dalam kabinet kerajaan sebelum ini, dapat mencari solusi terbaik dalam mendepani wabak COVID-19.
Dalam konteks di Sabah, kami berharap Dato’ Sri boleh mempertimbangkan perkara-perkara berikut:
- Isu ‘stateless’ di Sabah yang sehingga kini belum ada jalan penyelesaian. Jumlah mereka terus bertambah, apakah kaedah terbaik yang penuh kemanusiaan dalam menangangani hal ini.
- Penumpuan program vaksinasi di Sabah. Sebagai rekod, Sabah sebagai rakan kongsi Malaysia berada di kedudukan paling bawah dalam jumlah kumulatif pemberian dos vaksin. Setakat hari ini, hanya 28% populasi dewasa di Sabah melengkapkan dua dos dan 19.8% dari populasi keseluruhan.
- Suntikan bantuan tersasar kepada industri pelancongan di Sabah yang kini sangat tenat. Sektor pelancongan antara penyumbang terbesar ekonomi negeri Sabah. Dalam keadaan jumlah populasi vaksinasi yang masih rendah, adalah dibimbangi sektor pelancongan di Sabah terus menanggung kerugian ketika negeri lain sudah boleh membuka negeri mereka untuk dikunjungi.
- Semoga Dato’ Sri tidak terpengaruh sekiranya wujud agenda pertukaran Ketua Menteri di Sabah (BERSATU) setelah UMNO kembali menguasai Putrajaya. Biarlah rakyat menghakimi pada pilihan raya akan datang demi kestabilan pada fasa genting ini.
Kepada Dato’ Sri Perdana Menteri, semoga Dato’ Sri dalam rahmat Allah Taala dan menjadi Perdana Menteri yang adil kepada semua rakyat Malaysia. Hanya kepada Allah Taal kita berserah.