KOTA KINABALU : Majlis Pimpinan Negeri Sabah memandang serius kenyataan ADUN Bilut, YB Lee Chin Chen dan Setiausaha baru DAP, Adun Luyang, YB Phoong Jin Zhe kerana memberi serangan secara langsung kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga kesepakatan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Kenyataan kedua-dua ADUN tersebut adalah menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta untuk berundur selepas keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.
MPN menyatakan tindakan tersebut menunjukkan ketidakmatangan dan boleh menyebabkan Pakatan Harapan semakin terbuka kepada perdebatan awam.
“Sepatutnya Pakatan Harapan membuat Post Mortem tentang prestasi di PRN Melaka dan sebarang cadangan dan keputusan Dasar perlu dibuat secara Bersama seperti yang menjadi budaya Keluarga Pakatan Harapan,”jelas MPN.
Menurut MPN, kenyataan tersebut juga seperti menafikan sumbangan besar Logo Parti Keadilan Rakyat yang digunakan pada PRU14. Pada PRU itu, terdapat lonjakan kerusi kepada DAP di Melaka dengan 6 Kerusi pada PRN13 kepada 8 Kerusi pada PRN14.
Kemerosotan kerusi DAP hanya 4 kerusi pada PRN Melaka dengan menggunakan Logo Pakatan Harapan baru-baru ini menunjukkan bahawa setiap parti perlu membuat post mortem masing-masing sebelum diangkat kepada Mesyuarat Pakatan Harapan dan keputusan Dasar terakhir dibuat oleh Majlis Presiden.
MPN juga menyatakan kritikan terbuka kepada pimpinan tidak akan menyelesaikan masalahtetapi akan mengheret Pakatan Harapan di ambang perpecahan dan seterusnya merugikan rakyat Malaysia.
“Setiap parti perlu maklum bahawa kesepakatan yang telah diterokai sejak 23 tahun yang lepas telah banyak merubah lanskap politik di Malaysia dan juga di Sabah,”tambah MPN.
Menurut MPN, Agenda Reformasi dan Perubahan yang digerakkan oleh pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Muhammad Sabu telah mencetuskan gelombang baru politik Malaysia sejak 1998.
Kesepakatan PH telah membuka ruang Kerjasama dengan Tun Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Shafie Afdal sehingga telah Berjaya menjatuhkan regim BN selama 60 tahun di peringkat Parlimen dan mengambil alih pentadbiran 7 Kerajaan Negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.
MPN memandang serius tindakan dan kenyataan kerjasama bekas-bekas ADUN BN yang tidak berasas dan simplistik serta tidak memahami sejarah dan evolusi Politik Malaysia.
“Keputusan Dasar yang dibuat sebelum PRN Melaka adalah secara kolektif. Oleh itu, kejayaan atau kegagalan perlu ditanggung Bersama dalam semangat keluarga besar PH,”tambah MPN.
MPN Sabah menegaskan bahawa sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Keadilan, Ketua Pembangkang dan juga Pengerusi PH mengusulkan agar satu post mortem menyeluruh dibuat untuk merangka strategi baru PH dalam menghadapi PRU15 yang akan datang.