spot_img
HomePolitikJeffrey pertimbang tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera, siar artikel fitnah dirinya

Jeffrey pertimbang tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera, siar artikel fitnah dirinya

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengkritik artikel terbitan Al Jazeera sebagai “putar belit dan tidak bertanggungjawab” berhubung artikel perjanjian kredit karbon Sabah, yang dikatakan ditulis berdasarkan sumber “pemberi maklumat”.

Artikel yang disiarkan Al-Jazeera pada 2 Februari lalu tersebut dikatakan membongkar dakwaan kisah di sebalik kelulusan NCA terbabit dan kaitan Jeffrey dengan individu mewakili syarikat dari Singapura yang dilantik mengendalikan perdagangan kredit karbon.

Melalui itu, terdapat dakwaan salah laku yang pernah dikaitkan dengan Jeffrey sepanjang tempoh beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah antara 1986 hingga 1993, ketika zaman pentadbiran kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata tindakan Al-Jazeera itu tidak bertanggungjawab kerana apa yang ditulis adalah dakwaan palsu dibuat individu tertentu yang mahu memburukkan NCA terbabit.

Menurutnya, saluran berkenaan sepatutnya melakukan semakan dengan kerajaan negeri, yang sebelum ini sudah mengesahkan perjanjian pemuliharaan alam semula jadi (NCA).

Pada masa yang sama, dalam artikel itu, bekas Ahli Dewan Negara Adrian Lasimbang turut memberikan pendapat peribadi beliau. Pada itu, Jeffrey berkata pemberi maklumat yang sama juga telah mengelirukan dan mengeksploitasi Adrian.

“Individu yang berniat jahat untuk memburuk-burukkan perjanjian itu dan yang telah menubuhkan kumpulannya sendiri untuk mengambil alih perjanjian berkenaan”.

“Jelas, kedua-dua mereka Al-Jazeera dan Lasimbang membuat kenyataan terhadap topik berkenaan berdasarkan pembohongan dan kepalsuan yang disuap kepada mereka oleh individu yang motifnya berkehendak laba politik, selain menghasut masyarakat orang asli dengan memfitnah saya,” katanya dalam kenyataan.

Al Jazeera juga memetik pemberi maklumat tidak dinamakan yang kononnya dikatakan “mempunyai pengetahuan langsung tentang perjanjian berkenaan”, selain menceritakan pertuduhan rasuah dan hasutan yang dikenakan sebelum ini terhadap Kitingan.

“Saya mempertimbangkan mengambil tindakan perundangan terhadap Al Jazeera dan Lasimbang serta beberapa pihak lain yang aktif menyebar maklumat salah kepada orang awam, terutamanya pihak yang mahu mencemarkan nama saya,” katanya.

Tambah Jeffrey, tindakan Al Jazeera adalah sangat tidak professional dengan sewenang-wenangnya memfitnahnya bersandarkan maklumat disediakan “pemberi maklumat” itu tanpa menyiasat kebenarannya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular