BEAUFORT: Hari ini dalam sejarah buat politik Malaysia apabila, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
“Inilah keputusannya, syabas kepada semua Yang Berhormat yang mencipta sejarah hari ini,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Seramai 209 Ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, sejarah buat politik Malaysia. Selepas ini tiada lagi, Ahli Yang Berhormat boleh menghianati mandat yang diberikan oleh rakyat.
“Tahniah kepada semua wakil rakyat kerana menyokong RUU lompat parti ini,” katanya.
Beliau juga, mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana membawa usul ini ke parlimen dan berjaya mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat.
“Cuma sedikit menghairankan, tiada seorang pun Ahli Parlimen BERSATU yang melibatkan diri untuk membahas usul ini di parlimen, sebelum pengundian dibuat,” tambahnya.
Sementara itu dalam sidang media, Datuk Seri Wan Junaidi berkata, RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara untuk bacaan kali pertama pada 9 Ogos depan.