LAHAD DATU: Kehangatan pemilihan Bahagian UMNO seluruh negara semakin terasa bahangnya. Tarikh pendaftaran calon-calon pemilihan bahagian tinggal beberapa hari lagi.
Ahli Jawatan Kuasa Pemuda UMNO Lahad Datu meluahkan, inginkan perubahan dan wajah baharu barisan kepimpinan Bahagian UMNO Lahad Datu 2023-2028.
Terutamanya, fokus mereka ingin mengangkat seorang nama besar yang berpengaruh dalam negara, menjadi Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu yang baharu.
Azlan bukan nama sebenarnya, menyatakan hasrat untuk memperdepankan Presiden Persatuan Hoki Sabah, Dato Sri Dr Anil Sandhu menjadi Ketua Pemuda Lahad Datu yang baharu.
Kreadebiliti kepimpinan beliau terserlah dalam memimpin Persatuan Hoki Sabah dalam mencapai banyak kejayaan.
“Bukan itu sahaja, beliau diangkat menjadi Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia dan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)”
“Beliau seratus peratus layak menerajui kepimpinan Pemuda Lahad Datu untuk pemilihan kali ini,” katanya.
Tambah beliau, sudah tentu dalam pembangunan sukan di Lahad Datu khasnya, akan semakin rancak dengan pengalaman kepimpinan beliau.
Farid bukan nama sebenar, sangat bersetuju dengan mengetengahkan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian P188 Lahad Datu, Dato Anil menjadi Ketua Pemuda.
“Anil mempunyai jawatan tinggi dipersekutuan mahupun negeri, beliau menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia di Putrajaya. Sudah tentu pengalaman beliau memimpin dapat merancakkan program Pemuda UMNO Lahad Datu, terutamanya program pelancongan di P188 Lahad Datu”
“Sekaligus dapat mempertingkatkan kemasukan pelancong di Bandar Perang ini. Kawasan Parlimen Lahad Datu mempunyai banyak tempat potensi untuk dimajukan dan dinaiktaraf menjadi pusat pelancongan terkenal di Sabah, tambahnya.
Tambah Farid, tanpa kredibiliti memimpin, seorang pemimpin itu dilihat tidak mampu untuk mempengaruhi pengikutnya dan seterusnya tidak berupaya untuk memimpin dengan baik.
Sementara itu, dijangka Ketua Pemuda Lahad Datu, Adam Danial @ Francis Saidar akan bertanding jawatan Ketua Bahagian Lahad Datu.
Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan peringkat bahagian dan pusat adalah bermula pada 13 Februari dan ditutup pada jam 5 petang 26 Februari 2023.