KOTA KINABALU – Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, menerima laporan insiden kekecohan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Sabtu lepas.
Bung berkata, mana-mana Bahagian UMNO yang terlibat dengan insiden tidak diingini pada mesyuarat itu, membuat laporan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat untuk tindakan lanjut.
Tanpa merujuk kepada mana-mana Bahagian UMNO, Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan itu berkata, pihak Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat akan meneliti setiap aduan dikemukakan dan akan menyiasat.
“Sekiranya berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan mesyuarat tidak mustahil persidangan akan dibuat semula,” katanya.
Antara kekecohan yang menarik perhatian ramai pada Sabtu lepas ialah Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu yang dicemari oleh insiden pergaduhan dipercayai akibat provokasi sehingga menyebabkan dua individu cedera.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad dilaporkan berkata, dalam insiden pada jam 2.45 petang itu, seorang daripada mangsa yang cedera adalah kakitangan Badan Perhubungan UMNO Sabah manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu.
Sumber Sinar Harian, Bung Moktar juga meminta ahli UMNO selepas pemilihan kali ini agar memberikan keutamaan untuk mengembalikan semula perpaduan dalam parti, dan saling memaafkan antara satu sama lain dalam usaha memperkasakan kembali parti itu.
Beliau melihat pemilihan UMNO yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Sabtu lalu sebagai “kemeriahan demokrasi” apabila ramai yang menawarkan diri bertanding walaupun parti itu dikatakan mengalami kemalapan.
“Kemeriahan itu membuktikan UMNO masih relevan walaupun tanggapan setengah pihak khususnya UMNO di Sabah akan terkubur berikutan tindakan beberapa ahli parti itu keluar meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain,” katanya. – Sinar Harian