BELURAN: Seorang pekerja ladang maut selepas terperangkap dalam kereta, dipercayai hanyut selepas dibawa arus deras di Sungai Memanjang, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.17 petang sebelum mengerahkan pasukannya ke lokasi kejadian sejauh 35 kilometer.
“Pasukan bomba bersama agensi lain terpaksa menggunakan jengkaut untuk menarik keluar kereta berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, mangsa dikenali sebagai Kahar dikatakan hanyut dibawa arus deras ketika melalui jambatan yang dinaiki air.
Susulan itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kami difahamkan kawasan itu sering dilanda banjir kilat. Oleh itu, orang ramai dinasihati tidak mengambil risiko dengan meredah arus deras ketika banjir,” ujarnya.


