spot_img
HomeSemasaIbu sebak terima Ijazah arwah anak

Ibu sebak terima Ijazah arwah anak

KOTA KINABALU: Kejayaan seorang anak adalah kebahagiaan seorang ibu. Tiada perasaan lain yang mampu dizahirkan oleh seorang ibu tatkala melihat kejayaan seorang anak yang diberi harapan untuk mengubah masa depan keluarga.

Juliana Baru, 57, mewakili Allahyarhamah Nusratina Jalaludin, 24, yang meninggal dunia pada Oktober 2021 lalu untuk menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah(UMS) ke-22 di Dewan Canselor UMS.

Ibu arwah sebak saat menerima ijazah anaknya yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin. Apa yang mengundang sebak hatinya adalah tatkala teringat betapa gembiranya arwah ketika berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan(FKAL) pada tahun 2020.

“Masih terngiang dalam ingatan saya, arwah sangat teruja saat habis pengajian dan sudah memasang impian untuk menghadiri majlis konvokesyennya serta bergambar bersama keluarga,” katanya.

Namun, ajal terlebih dahulu menjemput anaknya sebelum sempat menyempurnakan impiannya. Lebih memilukan, Allahyarhamah meninggal dunia dalam pangkuan ayahnya sendiri dan disaksikan oleh ahli keluarga yang lain.

Rasa sedih dan rindu masih bertapak di hati mereka sekeluarga namun melihat pencapaiannya hari ini, rasa bangga lebih mendahului segalanya.

Juliana menyifatkan anak kelimanya itu sebagai seorang yang baik, ceria, peramah, taat kepada ibu bapa serta seorang pelajar yang cemerlang sejak dari bangku sekolah lagi.

“Arwah sentiasa mendengar nasihat dan tidak pernah melukakan hati kami. Harapannya adalah untuk membuat kami bangga akan kejayaannya. Namun, Allah lebih sayangkan dia dan saya redha. Akhir kata, saya zahirkan ucapan terima kasih kepada pihak UMS kerana sudi menjemput kami sekeluarga untuk menyaksikan kejayaan Nusrafina,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular