PUTRAJAYA: Individu yang ingin mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan pengeluaran khas seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu, boleh membuat permohonan melalui portal khas.
Merujuk kepada kenyataan hari ini, pihak KWSP memaklumkan, pemohon boleh mula membuat permohonan bermula 1 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.
Walaubagaimanapun, pihak KWSP menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka terlebih dahulu melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran.
Dalam pengumuman sebelum ini, pihak KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada individu bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir adalah 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April ini.
Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Duit yang dikeluarkan perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.
Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa. Dengan itu, individu yang membuat pengeluaran wang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan.
Semakan status permohonan boleh dilihat pada 9 April melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my. Pengeluaran khas ini bertujuan untuk membantu individu yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini.
KWSP turut mengingatkan supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu sahaja.
Pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.
Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.


