spot_img
HomeSemasaTabung Pendidikan Negeri Sabah bakal dilancarkan

Tabung Pendidikan Negeri Sabah bakal dilancarkan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang bakal dilancarkan bulan depan, bagi memberi peluang kepada anak Sabah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, dana itu merupakan inisiatif di bawah Pelan Strategik Kumpulan Yayasan Sabah 2015 sehingga 2023, bertujuan membangunkan modal insan.

“Tabung itu telah diluluskan oleh DUN melalui Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (pindaan) 2021 yang berkuat kuasa pada Januari,” katanya ketika Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Jelas beliau, ia adalah sebahagian daripada inisiatif pendidikan yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas ia dipilih pada September 2020.

Dalam Bajet 2022 negeri, kerajaan turut menyediakan bantuan kepada 289,204 pelajar untuk membeli pakaian seragam, kasut dan alat tulis menerusi peruntukan RM13.9 juta.

“Kerajaan negeri komited untuk meneruskan dua lagi bentuk bantuan pendidikan khas yang diperkenalkan pada 2021 bagi bantuan tunai kepada pelajar yang mendaftar di institut pengajian tinggi di bawah Skim Budi, serta Skim Bantuan Khas Tunai (Bakti) Peperiksaan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, sebanyak RM17.5 juta telah diperuntukkan untuk tujuan berkenaan dengan kira-kira 5,000 pelajar menerima bantuan Budi, diikuti 40,000 pelajar mendapat bantuan Bakti tahun lepas.

Sementara itu, sekolah vernakular, mubaligh dan swasta di Sabah turut diperuntukkan dana untuk bantuan khas.

“Ia mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah,” katanya. – The Star

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular