KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu COVID-19 yang dikenal pasti di negeri ini pada 21 Oktober membabitkan daerah Kudat, Kota Kinabalu dan Penampang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kluster berkenaan adalah kluster Basung, Inai dan Tempayan.
Menurutnya, kluster Basung melibatkan sebuah jeti nelayan di daerah Kudat dengan jumlah yang dikenal pasti positif sebanyak 19 kes.
Katanya, kes terbabit dikenal pasti melalui saringan bersasar ke atas individu yang terlibat dengan perniagaan ikan di Kudat.
“Seramai 174 individu disaring dan 148 individu didapati negatif manakala seramai tujuh individu masih menunggu keputusan.
“Bagi kluster Inai, ia turut membabitkan daerah Kudat selepas kes ke-17,773 dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober 2020.
“Kes berkenaan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di PPR Taman Ehsan Kota Belud dan hasil saringan kontak rapat mengenal pasti sebanyak tujuh lagi kes positif bagi kluster ini,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah 92 individu disaring dan 84 orang masih menunggu keputusan.
Menurutnya, kluster Tempayan melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Penampang melibatkan kes indeks ke-11,619 yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 1 Oktober 2020.
Katanya, kes berkenaan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan hasil saringan kontak rapat mengenal pasti sebanyak 18 lagi kes positif COVID-19.
Noor Hisham berkata, sehingga 21 Oktober, sejumlah 21 individu disaring bagi kluster ini dan masing-masing satu kes didapati negatif dan satu lagi masih menunggu keputusan.
-utusanborneoonline