LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) melalui penyelarasan Operasi Cegah PATI (OCP) berjaya menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lima daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Komander ESSCom DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kejayaan ini dapat dilihat melalui penurunan pengusiran yang dilakukan oleh pasukan OCP laut sepanjang tempoh operasi April hingga September 2020.
“Jika lihat statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Operasi Laut ESSCom memang berlaku pengurangan pengusiran, di mana pada bulan September, OCP hanya mengusir 215 PATI berbanding pada awal Apri iaitu sebanyak 1400 pengusiran. Memang ada penurunan.

“Selain itu, pengesanan radar yang dikendalikan pasukan barisan hadapan (Angkatan Tentera Malaysia) juga menunjukkan terdapat pengurangan pergerakan bot-bot kecil terutamanya pada waktu malam, yang hanya ada melibatkan pergerakan kapal-kapal dagang saja,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata kejayaan ini hasil kerjasama, sokongan dan kerja keras semua pasukan keselamatan yang terlibat dalam OCP terdiri Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan ATM yang berkerja 24 jam sehari secara bergilir-gilir tanpa henti di kawasan hotspot dan laluan PATI.
Katanya, setakat ini terdapat 10 kapal ronda dan 32 buah bot kecil telah diselaraskan penugasan bergilir-gilir membantu mengawal perairan Pantai Timur Sabah 24 jam di lima daerah hotspot PATI meliputi daerah Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau hingga Kalabakan.
“Buat masa ini, kita akan selaraskan operasi-operasi kita berdasarkan kepada jumlah aset dan keanggotaan yang kita ada.
“Sekiranya ada tambahan keanggotaan dan aset daripada agensi-agensi keselamatan lain, kita akan selaraskan semula mengikut jumlah keanggotaan yang ada supaya rondaan dan pengawasan OCP dapat meliputi semua kawasan hotspot PATI termasuk di kawasan pesisir pantai yang disyaki menjadi laluan tikus PATI di kawasan ESSZone,”katanya.
Mengulas mengenai perlaksanaan OCP daratan, beliau berkata OCP daratan yang diaktifkan pada awal Ogos lalu akan turut diperluaskan ke kawasan-kawasan hotspot di pesisiran pantai yang disyaki menjadi laluan kemasukan PATI.
“Secara keseluruhannya, dalam lima OCP daratan, ESSCom telah atur gerak seramai 358 anggota PGA dan ATM dan dibantu agensi-agensi lain seperti Polis Bantuan Felda dan Ibu Pejabat Polis daerah,” katanya.
Selain itu, menurutnya ESSCom juga telah memperkasa pelaksanaan Road Check Points (RCP) di dua kawasan utama iaitu di RCP Kalabakan, Tawau dan RCP Sapi Nangoh, Beluran.
“Di kedua-dua tugas ronda RCP, ESSCom telah atur gerak sebanyak 258 anggota pelbagai agensi keselamatan PGA dan ATM dalam membantu mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan,” katanya.
Melalui usaha pelaksanaan penguatkuasaan OCP di perairan dan daratan, beliau optimis penyelarasan operasi ESSCom akan dapat mengurangkan kemasukan PATI seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19.
-utusanborneoonline


