KUALA LUMPUR, 25 Okt — Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara hari ini, bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di sini.
Perbincangan khas yang dijadualkan pada 2.30 petang itu, dijangka bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Kenderaan rasmi membawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memasuki pintu utama Istana Negara pada 12.20 tengah hari.
Kenderaan rasmi membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pula tiba di Istana Negara sekitar pukul 1.30 tengah hari, diikuti Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat ke Istana Negara ialah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
-bernama


