spot_img
HomeSemasaDatuk Robert ziarah keluarga dua beradik dihanyut banjir di Hospital Keningau

Datuk Robert ziarah keluarga dua beradik dihanyut banjir di Hospital Keningau

KENINGAU: Suasana pilu dan hiba menyelubungi perkarangan rumah mayat Hospital Daerah Keningau semalam yang menempatkan jenazah dua beradik yang ditemui maut di dua lokasi berbeza di Sungai Pegalam petang kelmarin.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik yang hadir sama memberi simpati dan penghiburan mendampingi keluarga terlibat dengan kata-kata semangat dan minta banyak bersabar.

“Saya turut bersedih dengan musibah yang berlaku, diharapkan kedua ibu bapa serta keluarga dapat bersabar dan redha dengan ketentuan Allah,” kata Robert.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor yang pada sebelah pagi menghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16 bergegas balik menemui keluarga berkenaan di hospital.

Hari sebelumnya Robert turut sama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian Sungai Liawan Kg Dangulad di samping berkesempatan menziarahi keluarga mangsa di kediaman kakak ibu mangsa di Kg Tuarid Taud.

Dua beradik yang menjadi mangsa dihanyut banjir itu merupakan cucu kepada Bubuyan Gindam dari Kg Tandian Minansut Bingkor.

Mayat pertama, Amber Lim, 4, ditemui sekitar 2.15 petang di Sungai Pegalan berhampiran Kg Jawa Sumbiling, Tenom.

Manakala mayat abangnya Jason Lim, 6, ditemui 2.25 petang di Sungai Pegalan Kg Sigapon dekat Senagang, Keningau.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengkebumian.

Sementara itu Robert menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari seperti PDRM, Bomba, RELA, JPAM, sukarelawan ‘GALLON STAR’ Kg Kota Ayangan diketuai Yusry Hj Katik, penduduk dan orang perseorangan.

-USBO

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular