KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat menghargai dedikasi, kerja keras dan pengorbanan warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama petugas hadapan menangani pandemik COVID-19.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Hj Noor menyifatkan kepimpinan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga terbukti melakukan tugas yang terbaik.
“Khususnya, dalam memerangi pandemik yang menular di Sabah dan kita juga gembira apabila diberitahu kes COVID-19 di negeri ini sudah mula stabil dengan penurunan kes.
Hajiji berkata kesan kesungguhan warga kerja KKM juga berjaya membantu negeri ini merekodkan pemulihan status di daerah atau zon merah dan kuning menjadi hijau.
Ketua Menteri berkata demikian selepas menerima sumbangan ventilator, mesin sinar-x bergerak, pelitup muka dan kewangan untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri COVID-19 (JPBNC) di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) di sini.
Menyentuh sumbangan itu pula, beliau memuji inisiatif Kumpulan Hap Seng melalui Yayasan Lau Gek Poh, Petronas menerusi Yayasan Petronas dan Cement Industries Sabah.
“Kita berterima kasih dengan semua penyumbang dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk mengalahkan penularan COVID-19 dengan berkesan,” katanya.
Pada majlis itu, Pengarah Kumpulan Hap Seng Datuk Simon Shim menyampaikan sumbangan dana bernilai RM2 juta melalui Yayasan Lau Gek Poh untuk pembelian tiga mesin x-ray mudah alih berteknologi tinggi dan 11 unit ventilator bergerak.
Petronas pula yang diwakili Ketua Petronas Sabah dan Labuan Rokiah Sulaiman menyerahkan satu juta pelitup muka kepada JPBNC.
Manakala, Pengerusi Cement Industries Sabah Datuk Japlin Akim tampil menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 dalam bentuk replika cek.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Jurucakap COVID-19 Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Christina Rundi.
-UBSO


