spot_img
HomeSemasaTambahan RM50 juta mudahkan usaha Sabah tangani COVID-19

Tambahan RM50 juta mudahkan usaha Sabah tangani COVID-19

KOTA KINABALU: Peruntukan tambahan RM50 juta kepada Sabah bagi memerangi COVID-19 dapat memudahkan lagi pelbagai usaha yang diambil kerajaan negeri ke arah itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata Sabah sememangnya sangat memerlukan dana tambahan di samping peruntukan disediakan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, katanya beliau yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri menghargai pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung perkara itu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat siang tadi.

“Kita merakamkan penghargaan kepada Menteri Kewangan yang mengumumkan peruntukan tambahan itu kerana kita memerlukan lebih banyak dana untuk menangani COVID-19 lebih-lebih lagi Sabah adalah negeri yang paling terjejas.

“Usaha menangani pandemik ini membabitkan belanja yang besar merangkumi pelbagai aspek seperti makanan, logistik, peralatan dan dana itu sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai perkara dalam memerangi COVID-19 di Sabah,” katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Bagaimanapun, katanya beliau yang juga Menteri Kewangan II Sabah turut berharap agar peruntukan lain melalui Kementerian Kesihatan juga dapat disalurkan lebih banyak ke negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kelonggaran syarat bagi rakyat negeri ini untuk ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan tanpa kuarantin wajib 14 hari bermula semalam, beliau berkata ia bukan perkara baharu.

Beliau turut menafikan ia ada kaitan dengan politik kerana dilihat dibuat secara tiba-tiba ketika ada Ahli Parlimen dari negeri ini perlu hadir ke sesi penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya saya sendiri ada membangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) kenapa rakyat dari Sabah perlu menjalani kuarantin 14 hari.

“Kita sudah lama minta agar perkara itu dikaji semula dan kita bincang dalam mesyuarat MKN. Ia tiada kaitan dengan politik,” katanya.

Berdasarkan kelonggaran syarat baharu itu, rakyat dari Sabah yang mahu ke Semenanjung, Sarawak atau Labuan hanya diperlukan membawa laporan ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif.

Rakyat di negeri ini tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib 14 hari seperti sebelum ini jika pemeriksaan di pintu masuk mendapati tiada sebarang gejala.

Ujian itu bagaimanapun perlu diambil tiga hari lebih awal sebelum bertolak dari Sabah.

-BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular