spot_img
HomeSemasaPertemuan dengan PM, Menteri Persekutuan bincang pembangunan Sabah - Datuk Hajiji Noor

Pertemuan dengan PM, Menteri Persekutuan bincang pembangunan Sabah – Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 8 Jan  — Pertemuan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri-menteri Persekutuan minggu ini bertumpu kepada perbincangan pelaksanaan pelan dan inisiatif yang digariskan bagi pembangunan negeri.

Hajiji berkata pelan dan inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan Sabah 2021 dan Belanjawan Malaysia 2021 dibincang dengan terperinci bagi menyelaras usaha dilakukan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kunci utama perbincangan adalah untuk penyelarasan yang tepat bagi memastikan kelancaran semua perancangan berkenaan.

Turut menjadi agenda utama (perbincangan) ialah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya lima tahun 2021-2025 yang memberi penekanan dalam sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan sebagai pemangkin ekonomi utama Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pertemuan dengan Muhyiddin diadakan Isnin lepas  kemudian pada Rabu disusuli pertemuan dengan Menteri Kanan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Hajiji berkata pada pertemuan dengan Saifuddin perkara utama dibincangkan adalah berkaitan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan memperluaskan liputan 4G dan meningkatkan kelajuan internet di Sabah.

Semalam, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Seri Nancy Shukri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu dalam sebuah kenyataan berasingan, Hajiji berkata beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan Muhyiddin untuk dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar untuk membentuk dan memperkukuhkan organisasi dan gerak kerja parti di peringkat negeri hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata hari ini pertemuan diadakan bersama pimpinan tertinggi parti komponen PN Sabah  terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP)  dan PAS yang mana persetujuan dan kesepakatan telah dicapai terhadap empat perkara.

Empat perkara itu antaranya  ialah membentuk dan memperkemas organisasi serta gerak kerja PN di peringkat negeri hingga ke peringkat akar umbi; memastikan PN dan parti komponen di Sabah meningkatkan keberkesanan khidmat bakti demi kesejahteraan rakyat.

Mendokong sepenuhnya kepimpinan Muhyiddin dan Kerajaan PN di peringkat persekutuan; dan mengukuh kerjasama PN, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah bagi membentuk kesepakatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan memperkuat Kerajaan GRS di Sabah.

-bernama

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular