spot_img
HomeSemasaPerbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) urus banjir daerah

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) urus banjir daerah

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) akan mengetuai pengurusan tebatan banjir daerah di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu turut membabitkan tindakan berhubung cadangan mendalamkan Sungai Padas dan menjajarkan kawasan tebing sungai berkenaan.

Menurutnya, selain itu kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan semua cadangan yang berkaitan kerana kita tidak akan berlembut dalam usaha untuk menangani masalah banjir di Beaufort.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir dan Dewan Pa’ Musa di sini hari ini.

Hajiji yakin kerajaan negeri akan membuat yang terbaik dalam menyediakan bantuan kepada  mangsa banjir.

Sejumlah 217 mangsa banjir daripada 68 keluarga dipindahkan ke PPS terbabit selepas terjejas banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari.

“Hari ini saya bertemu dengan mangsa banjir dan menyampaikan bantuan wang tunai berjumlah RM500 dan bakul makanan,” katanya.

Beliau berkata, amat dikesali masalah banjir di Beaufort ini sudah berlanjutan lama dan menyebabkan penderitaan kepada rakyat di sini.

Katanya, penting bagi penduduk di sini mematuhi arahan pihak berkuasa khususnya apabila berkaitan dengan pemindahan ke kawasan tinggi.

Pada masa sama jelasnya, mereka yang dipindahkan ke PPS dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk menghentikan penularan rantaian pandemik COVID-19.

“Kita tidak mahu mangsa-mangsa banjir ini turut dijangkiti wabak COVID-19,” katanya.

Hajiji turut melawat Jambatan Sungai Padas dan Kluster Padi Kampung Pimping di Membakut iaitu hampir 31.7 hektar sawah padi di kawasan itu dilanda banjir. -USBO

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular