ALOR SETAR: Dua sahabat terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Zahairuddin Zakaria, 40, dan Rizam Mohammad, 39, kelihatan tenang selepas Hakim Datuk Ghazali Cha membacakan keputusan itu terhadap mereka.
Ghazali dalam penghakimannya, berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh terbabit menyebabkan kematian Thomas Ooi Choon Chai, 37.
“Seramai 12 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kematian Ooi Choon di Taman Perumahan Awam Mergong, Alor Setar pada 27 Oktober 2017.
“Bagaimanapun, keterangan yang diberikan oleh saksi itu gagal membantu pihak pendakwaan untuk mengaitkan tertuduh dengan kematian mangsa,” katanya.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Ooi Choon di Taman Perumahan Awam Mergong, Kota Setar antara jam 8.30 pagi hingga 11.53 pagi pada 27 Oktober 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Abdul Rahman, manakala Zahairuddin dan Rizam diwakili peguam Datuk Naran Singh. -BH


