KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan memberi bantuan sebanyak RM500 kepada setiap warga pertanian di negeri ini yang dijangkiti COVID-19.
Bantuan sekali beri itu akan disalurkan kepada petani, penternak dan nelayan yang postif dijangkiti Covid-19 melalui jabatan berkaitan dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata berdasar data terkini yang diterima pihaknya, seramai 60 orang warga pertanian dalam pelbagai sektor termasuk peladangan, penternakan dan perikanan disahkan positif COVID-19.
“Bagaimanapun pihak kami melalui semua jabatan terlibat sedang mengumpul data lengkap di setiap daerah dalam usaha memastikan tiada yang tercicir dan terpinggir.
“Semua warga pertanian yang positif COVID-19 akan memperolehi bantuan itu secara sekali beri. Apabila disahkan positif COVID-19, mereka terpaksa melalui tempoh rawatan dan kuarantin sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan hilang pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Azman berkata, kerajaan negeri berasa terpanggil membantu warga pertanian yang positif itu dengan pemberian bantuan sagu hati itu bagi meringankan beban mereka.
“Sumbangan itu tidak besar, tetapi cukup membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib yang menimpa petani di negeri ini kerana COVID-19,” katanya. -BH