spot_img
HomeSemasaMoratorium automatik tanpa syarat

Moratorium automatik tanpa syarat

Kuala Lumpur: Lanjutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sebagai langkah mengawal penularan Covid-19 selama dua minggu lagi bermula 15 Jun ini, perlu ‘diseiringkan’ dengan pemberian moratorium secara automatik.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian moratorium itu bukan hanya untuk pihak yang hilang pekerjaan atau perniagaan tidak beroperasi, sebaliknya perlu mengambil kira golongan yang terjejas daripada segi pendapatan.

Dengan bank masing-masing mencatatkan keuntungan dalam waktu pandemik, Ahmad Zahid berkata, institusi berkenaan dilihat ada kemampuan untuk memberi moratorium secara automatik.

“Seperti yang saya katakan kepada pemberita semalam (kelmarin), kita minta kerajaan segera arah bank beri moratorium secara automatik. Justeru kita ulang desakan agar kerajaan arahkan bank segera beri moratorium automatik untuk satu tempoh yang munasabah kepada rakyat.

“Diberi tanpa sebarang caj tambahan kepada setiap rakyat yang memerlukan dan perniagaan dalam kesulitan akibat ‘total lockdown’ (sekatan pergerakan penuh). Bukan untuk mereka yang hilang pekerjaan atau perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Mereka yang masih bekerja pun perlu diberi moratorium akibat pendapatan isi rumah terjejas. Akibat dipotong gaji oleh majikan atau pendapatan daripada aktiviti teksi dan e-hailing berkurangan,” katanya pada kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berharap, kerajaan menggunakan ‘kuasa’ untuk mengarahkan bank memberi moratorium automatik yang menyeluruh.

“Adakah bank tidak ada keuntungan jika moratorium ini diberikan? Kita semua tahu bank ada kemampuan untuk beri moratorium secara automatik,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pihak bank masih mencatatkan keuntungan berbilion ringgit pada waktu pandemik Covid-19.

“Bank sila tolong rakyat. Apabila keadaan kembali stabil, rakyat juga tolong bank buat untung.

“Kerajaan jangan pula beri alasan tiada kuasa arah bank beri moratorium automatik yang menyeluruh. Kemudian kata ada kuasa untuk arah tetapi perlu bayar pampasan pula kepada bank.

“Saya difahamkan, Seksyen 3 dan 5 Ordinan Darurat 2021 cuma menyebut kerajaan boleh memberi arahan pampasan. Perkataan ‘boleh’ bukan bermaksud ‘mesti’. Tidak pasti mengapa ada pihak cuba menggambarkan ia ‘wajib’,” katanya. -Hmetro

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular