spot_img
HomeSemasaSekali lagi majlis pengebumian cetus kluster baharu

Sekali lagi majlis pengebumian cetus kluster baharu

 

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster COVID-19 tercetus yang disyaki berpunca daripada majlis pengebumian melibatkan keluarga dari Kampung Nosoob Baru, Kg Pogunon dan Kg Terawi Penampang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Nosoob Baru adalah penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

“Dipercayai berpunca daripada majlis pengebumian di Kg Nosoob Baru pada 10 Julai 2021. Kes indeks adalah wanita, 28, yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra-rawatan pada 13 Julai 2021.

“Setakat 24 Julai 2021, 17 kes positif termasuk satu kes baharu dikesan dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, satu lagi kluster dikesan pada hari yang sama iaitu Kluster Jalan Mat Salleh melibatkan Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar dan Ranau dikategorikan sebagai kluster tempat kerja iaitu bangunan Rumah Persekutuan, Jalan Mat Salleh yang terletak di dalam Mukim Sembulan.

Katanya, premis kerajaan itu juga menempatkan pejabat pentadbiran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Sabah.

“Kes indeks merupakan pegawai farmasi, lelaki, 26, disahkan positif di Klinik Kesihatan Luyang pada 15 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021.

“Setakat hari ini, 258 sampel telah diambil di daerah Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan termasuk sembilan kes baharu,” katanya.

Manakala katanya, 54 sampel didapati negatif dan 186 sampel menunggu keputusan ujian saringan. Sementara itu, 24 kes pula didaftarkan di luar ibu negeri meliputi tiga kes di Putatan, tiga kes di Ranau, sembilan kes di Papar dan sembilan kes lagi di Penampang.

Katanya, jumlah kes berkenaan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes termasuk sembilan kes baharu yang direkodkan pada 24 Julai 2021.

Dalam pada itu katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 24 Julai 2021 adalah sebanyak 712 kes.

“Lapan kes kematian dilaporkan iaitu tiga kes di Sandakan, manakala Kota Kinabalu, Penampang, Kudat, Tawau dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes kematian,” katanya.-Utusan Borneo

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular