KOTA KINABALU: Hujan lebat sejak malam semalam mengakibatkan empat daerah di negeri ini dilanda banjir kilat.
Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah dalam beberapa kenyataan media semalam memaklumkan antara daerah berkenaan termasuklah Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Beaufort, Membakut serta Kota Belud.
Katanya hujan lebat itu mengakibatkan 79 buah kampung termasuk kawasan perumahan digenangi banjir kilat manakala 40 penduduk turut ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Kota Belud mencatatkan daerah paling banyak kawasan terjejas membabitkan 39 perkampungan keseluruhan bermula dari Kampung Siasai Tamu ke Kampung Timbang Manggaris serta lapan jalan utama terputus dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
“22 mangsa banjir daripada sembilan keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Muhibah Kampung Tombol,” katanya.
Beliau berkata setakat jam 5 petang juga seramai 18 penduduk daripada enam keluarga yang terjejas banjir dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol sejak dibuka jam 10 pagi semalam.
“Untuk Sipitang, pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membuat pemeriksaan di 10 buah kampung yang terjejas banjir.
“Kesemua mangsa banjir adalah dari Kampung Sungai Tiga dan Kampung Naluyan berikutan keadaan banjir yang semakin teruk di kawasan terbabit,” katanya.
Menurutnya 19 buah kampung turut terjejas masing-masing 12 kampung di Beaufort dan tujuh kampung di Membakut bagaimanapun belum ada sebarang pemindahan penduduk dilakukan buat masa ini.
“Bagi kawasan ibu negeri kita mencatatkan 10 kawasan perkampungan serta taman perumahan dilanda banjir kilat manakala tujuh kawasan lain dilaporkan berlaku tanah runtuh.
“Untuk daerah Penampang, Kampung Sugud menjadi kampung yang paling teruk dilanda banjir kilat menyebabkan dua jalan utama iaitu Jalan Datuk Panglima Banting dan Jalan Kolopis tidak boleh dilalui,” katanya.
Menurutnya operasi serta tinjauan berterusan daripada pelbagai agensi giat dijalankan terutama di kawasan sering dinaiki banjir untuk bersedia dengan tindakan pemindahan penduduk jika keadaan semakin-UTUSAN BORNEO