Kota Kinabalu: Masalah capaian internet merupakan masalah yang tidak asing dalam dunia pendidikan. Ia merupakan suatu cabaran kepada pelajar yang mempunyai kesukaran dalam mengakses internet memandangkan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekarang sepenuhnya dijalankan secara atas talian.
Banyak keluhan dan aduan daripada pelajar sejak tahun lalu berkaitan masalah ini terutamanya pelajar di ceruk kampung dan di kawasan pendalaman Sabah.
Universiti Malaysia Sabah, tidak terkecuali memberikan kemudahan kepada pelajar yang tidak mempunyai capaian internet yang kurang memuaskan untuk balik ke kampus.
Hal ini untuk membantu pelajar memasuki kelas tanpa menghadapi masalah internet dan untuk mengelakkan pelajar daripada ketinggalan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Umi Ayu Janor, pelajar tahun 3 seni kreatif yang merupakan salah satu pelajar yang terkesan dengan masalah ini terpaksa balik ke kampus ekoran masalah untuk mendapatkan capaian internet bagi mengikuti kelas secara atas talian.
Kebiasaannya dia akan pergi ke pusat internet kira-kira tiga kilometer dari rumahnya dan seawal jam 7 pagi dia telah pergi ke sana bagi mendapatkan capaian internet untuk memasuki kuliah secara berterusan.
Menurut Umi, setelah pulang ke kampus capaian, rangkaian internet yang dia perolehi adalah lebih baik berbanding di rumahnya sebelum ini. Tambahannya lagi, UMS menyediakan wifi jadinya dia tidak perlu rungsing memikirkan biaya untuk data internet jikalau mengikuti kuliah atas talian.
“Sejujurnya, jika dibandingkan ketika saya dirumah sangatlah jauh perbezaannya. Sesudah berada di kampus, saya rasa segala urusan menjadi lebih mudah termasuklah memasuki kelas online dan menyelesaikan tugasan-tugasan yang perlu dilaksanakan” katanya lagi.

Berkongsi masalah ini juga, seorang pelajar UMS yang bernama Nur Azlin iaitu pelajar tahun 2 Sains Sekitaran yang juga terpaksa balik ke kampus akibat mempunyai capaian internet yang lemah dan dia terpaksa berjalan sejauh kira-kira 10 kilometer dengan menggunakan motosikal ke Perpustakaan Sipitang bagi mendapatkan capaian internet.
Bokhari Bin Salleh, seorang penolong pengurusan IT di TM berkata solusi daripada pihak berwajib berkenaan masalah capaian internet di kalangan pelajar adalah dengan melaksanakan Pelan Jendela Malaysia untuk menguji tahap keberkesanan internet terhadap sistem pendidikan untuk kalangan pelajar.
Menurut beliau, Projek Jendela sedang giat menaikkan spektrum kepada 5G di seluruh negeri untuk mengurangkan jurang perbezaan capaian internet antara bandar dan luar bandar. Selain itu, menaik taraf ibu sawat di setiap negeri-negeri dapat meningkatkan kemampuan internet itu sendiri.

“Walau bagaimanapun, terdapat juga halangan yang dihadapi dalam mengekalkan capaian internet iaitu dari segi untuk mendapatkan spektrum 5g kerana ia spektrum yang masih baru dan permasalahan di kemudian hari masih belum diketahui”
“Namun, untuk mengekalkan spektrum mampu memberikan kesan sampingan kepada masyarakat kerana mempunyai radiasi yang kuat” katanya lagi.
Sepatutnya isu internet sudah lama diselesaikan oleh pihak kerajaan. Hal ini kerana, jika pelajar ketinggalan dalam pembelajaran akibat daripada masalah internet ia akan menyebabkan pencapaian pendidikan negara menjadi terjejas sekaligus dapat mengelakkan kemalangan yang bakal berlaku kepada pelajar demi untuk mendapatkan capaian internet bagi memasuki PdP secara atas talian.
Penulis: Nur Syazwani binti Pasaran