spot_img
HomeSosiobudayaASTiF kekalkan budaya serumpun bersama Universiti Tawi-tawi

ASTiF kekalkan budaya serumpun bersama Universiti Tawi-tawi

Kota Kinabalu: Budaya berkait rapat dengan adat dan cara hidup sesebuah masyarakat. Adat resam dan budaya dapat membentuk cara berfikir individu atau masyarakat. Dalam memperkenalkan budaya Malaysia boleh dilakukan dengan berbagai bentuk dan cara seiring dengan perkembangan era dan teknologi.

Seperti yang dilakukan oleh Fakulti Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) dalam membawa ideologi budaya itu dalam perbincangan sebuah kesepakatan kerjasama LOI (Letter of Intent) dengan Universiti Tawi-tawi Filipina.

Perbincangan yang berlangsung pada 28 Oktober 2021 lalu, menjurus kepada kerjasama aktiviti akademik, persidangan ataupun seminar, pertukaran pensyarah, pertukaran pelajar serta penyelidikan.

Suhaimi Magi atau lebih mesra disapa Pak Su, Pensyarah ASTIF berkata, perkongsian serta maklum balas dari segi budaya dan bidang seni itu semuanya saling berkait kerana kita dikelilingi oleh budaya-budaya serumpun. Antaranya ialah Kalimantan iaitu Kepulauan Mindanau yang terkenal dengan kepelbagaian budayanya.

“Kerjasama ini tidak hanya berperanan sebagai suatu kegiatan akademik namun melihat kebersamaan serta persamaan daripada sebuah kepelbagaian. Baru-baru ini saya berhubung dengan kawan yang ada di Sulawesi Dr Halilintar namanya. Beliau sangat setuju bahawa banyak budaya Bajau yang telah pupus di Sulawesi”

“Mereka menemui di Johor yang merupakan alur jalur perjalanan orang Bajau merantau dan juga di Sabah khususnya. Ini sangat menarik bahawa ada benda yang sudah hampir hilang tapi dapat ditemukan kembali jejaknya melalui penyelidikan”, katanya.

Suhaimi juga menegaskan, usaha yang diambil oleh ASTIF ini perlu dikembangkan dan harus dipertingkatkan agar fakulti ini tidak menjadi sebuah fakulti dalam Universiti yang berdiri sendiri tanpa peduli kepada lingkungan dan juga sejarah keberadaan dimana ditengah-tengah kepelbagaian serumpun.

“Unsur politik harus diketepikan kerana perdamaian tidak hanya tentang membatasi konflik, namun mampu meningkatkan kerjasama”

“Perantara dalam projek ini iaitu Encik Nelson, Alumni ASTIF yang menyambung pengajian Phd disini berketurunan suku kaum Suluk dan Dr. Sharif, Pensyarah ASTIF yang menguasai bahasa Suluk dengan baik. Semasa kami berborak dalam bahasa Inggeris terselitlah bahasa-bahasa mereka dan mereka berkomunikasi dalam bahasa mereka dan itu menarik”, tambahnya lagi.

Sesungguhnya, universiti memainkan peranan penting dalam melahirkan budaya serumpun yang damai serta saling memahami. Ianya perlu untuk meningkatkan keyakinan bahawa Institusi Pendidikan itu harus berada di garis hadapan dalam perjuangan mencipta dunia yang membawa nilai budaya yang damai.

Penulis: Erni Salwinah Abdul Salam

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular