Kota Kinabalu: Sabah benarkan kemasukan pelawat yang divaksin sepenuhnya tanpa perlu menjalani ujian saringan covid-19 bermula 1 Disember ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pelawat yang berkeinginan memasuki negeri sabah dibenarkan masuk apabila memenuhi syarat dan prosedur yang telah ditetapkan kerajaan negeri Sabah.
Bagi individu berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksin atau belum lengkap divaksin perlu melakukan saringan COVID-19 dan menunjukkan slip keputusan ujian negatif di pintu masuk negeri ini.
Sementara itu, individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan perlu mengemukakan laporan perubatan yang disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.
Ketetapan ini akan tertakhluk hanya kepada pelawat tempatan manakala pelawat antarabangsa diwajibkan menjalani kuarantin selama tujuh hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ke lima tempoh kuarantin.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah bersedia sepenuhnya untuk mengalu-alukan ketibaan pelawat antarabangsa sebaik sahaja Malaysia membuka semula sempadannya bermula tahun depan.
Beliau menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah untuk segmen domestik dan antarabangsa bagi menambah baik promosi pelancongan, termasuk peralihan pasaran semasa pandemik.