spot_img
HomeSemasaMalaysia sumbang vaksin kepada Bangladesh dan Laos

Malaysia sumbang vaksin kepada Bangladesh dan Laos

KUALA LUMPUR : Khairy Jamaluddin Menteri Kesihatan mengesahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyumbang bekalan vaksin kepada Bangladesh dan Laos.

Menurut Khairy, kerajaan memutuskan untuk menyumbangkan 559,200 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada negara Bangladesh dan 283,400 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada negara Laos.

Kedua-dua negara tersebut bakal menerima  sumbangan  bekalan vaksin ini pada  6 dan 8 Disember 2021.

Khairy berkata, sehingga hari ini, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi di Bangladesh adalah 20 peratus manakala bagi Laos pula kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk negara tersebut adalah sebanyak 42 peratus.

“Kerajaan komited dalam memastikan negara-negara yang memerlukan mendapat kesaksamaan akses kepada bekalan vaksin COVID-19,”tambah Khairy.

Khairy berkata, Malaysia sebelum ini juga pernah menerima sumbangan vaksin dari empat negara iaitu Jepun,Amerika Syarikat, China dan United Kingdom dengan jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima adalah sebanyak 2,913,790 dos. Sumbangan tersebut telah membantu meningkatkan kadar liputan vaksinasi di dalam negara.

“Justeru itu, Malaysia berharap dapat melakukan perkara yang sama kepada negara-negara yang memerlukan,”tambah Khairy.

Pihak KKM juga memberi jaminan kepada seluruh Keluarga Malaysia bahawa negara masih mempunyai stok bekalan vaksin yang mencukupi untuk bekalan program vaksinasi populasi dewasa, remaja dan juga dos penggalak kepada mereka yang telah layak.

KKM berharap sumbangan ini dapat membantu usaha kerajaan kedua-dua negara dalam menangani pandemik COVID-19 serta meningkatkan lagi kadar vaksinasi di negara masing-masing.

Kerajaan melalui KKM dan Wisma Putra juga akan terus mengenal pasti dan membantu negara-negara yang mencatatkan kadar vaksinasi yang rendah melalui pemberian sumbangan vaksin COVID-19 ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular