Keindahan Sabah negeri di bawah bayu bukan sahaja kerana flora dan fauna, tempat pelancongan yang mampu memikat hati para pelancong tetapi, Sabah juga unik dan mempunyai keistimewaan dari segi kepelbagaian kebudayaan serta suku kaum antaranya Kadazandusun, Murut, Rungus, Bajau, Suluk, Sungai dan lain-lain.
Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan memiliki kawasan menjangkau sebanyak 72,000 kilometer persegi yang terletak di bahagian utara borneo. Selain itu, negeri ini mempunyai lebih kurang 33 etnik, berkomunikasi dalam 50 bahasa dan terdapat 80 dialek dipertuturkan di setiap daerah.
Etnik Rungus tergolong sebagai serumpun dengan suku Kadazandusun. Berdasarkan banci pada tahun 1970, didapati jumlah populasi penduduk etnik Rungus pada masa itu adalah sebanyak 10 881 orang (Sabah 1980) dan minoritinya menetap di Kudat, Sabah.
Menurut masyarakat peribumi di Kudat, suku Rungus telah datang ke kawasan Kudat kerana mendapat kuasa daripada ‘Bobolizan atau Bobohizan’ yang terkemuka pada zaman itu.
Bobolizan berpendapat bahawa kawasan itu dipanggil sebagai ‘Dila Tana’ yang membawa maksud ‘Lidah Tanah’ . Manakala menurut Jeubirin bin Sopital (2000:47-48), etnik Rungus mempercayai bahawa mereka adalah berasal dari sebuah rumah panjang di dalam sebuah kampung yang diberi nama ‘Nunuk Ragang’ sebelum mereka berhijrah ke arah utara, Kudat.
Suku Rungus juga dikenali sebagai Momogon, Dusun Laut dan Dayak Dusun. Rungus berasal daripada perkataan ‘Rungsud’, iaitu nenek moyang suku kaum Rungus yang berpindah randah datang di kawasan Nunuk Ragang ke persisiran pantai di Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Telupid.
Majoritinya suku kaum ini telah menganuti agama kristian meskipun menurut Kon Ling (2005:7), etnik Rungus mengamalkan agama pagan. Suku ini juga dianggap tidak beragama kerana mereka dahulunya mengamalkan kepercayaan animisme.
Daerah Kudat merupakan penempatan utama bagi penduduk etnik Rungus menetap dan diikuti oleh daerah Pitas dan Kota Marudu. Nama Kudat berasal daripada ‘Kutad’ yang membawa maksud ‘Rumput Lalang’.
“Biar mati anak, jangan mati adat” merupakan pepatah masyarakat Melayu yang melambangkan pendirian masyarakat dalam mengekalkan adat resam yang telah menjadi sumber pegangan mahupun kepercayaan mereka sejak turun-temurun nenek moyang.
Sebelum masyarakat menganuti mana-mana agama atau kepercayaan, adat resam sememangnya berperanan penting sebagai sistem perundangan dalam kehidupan masyarakat pada masa itu. Justeru itu, adat resam yang telah diwarisi dari satu generasi ke satu generasi telah berlakunya perubahan mahupun semakin kurang diamalkan oleh segelintir masyarakat tersebut disebabkan oleh pengaruh dunia yang dipenuhi arus kemodenan.
Seterusnya, kehidupan dan kepercayaan etnik Rungus jelas mempunyai hubungkait dengan kepercayaan anismisme sejak zaman dahulu sebelum memeluk agama Kritian dan Islam. Kepercayaan animisme menjadi asas terpenting dalam pembentukan adat resam mereka.
Suku kaum Rungus mempercayai kewujudan Tuhan juga dikenali sebagai ‘Kinoringan’ yang menetap di langit menguasai seluruh alam termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan (Rokiah 1991:15). Etnik Rungus mempercayai bahawa ‘Kinoringan’ dapat mematikan dan menghidupkan manusia melalui wakilnya, iaitu Sambavon dan Ilumaag. Bbobbolllizan berperanan menjalankan ritual dalam hubungannya dengan kepercayaan animisme.
Agnes Monginjal yang merupakan penduduk kampung Kota Marudu berkata bahawa kepercayaan daripada turun temurun itu masih ada namun disebabkan beliau telah memeluki agama Kristian, sudah pasti kepercayaan itu telah berubah kepada Tuhan yang baharu.
Agnes yang beragama Kristian itu lebih mempercayai ajaran daripada Tuhan Yesus untuk mempraktikkan ajarannya dalam kehidupan seharian berbanding kepercayaan yang lampau, kata beliau. Beliau juga turut mengatakan bahawa kepercayaan semakin berkurangan disebabkan kekurangan orang tua yang pakar dalam adat resam untuk mendidik terutamanya anak muda masa kini yang tidak mengetahui bagaimana untuk meneruskan kepercayaan nenek moyang.
“Bukan itu sahaja, etnik Rungus masih berpegang teguh kepada adat resam meskipun mereka hidup dalam dunia serba kemodenan. Adat dalam perkahwinan, dan adat pertunangan masih mengikut adat resam terdahulu akan tetapi telah berlaku penambahan mahupun sedikit perubahan mengikut situasi pihak tertentu,”katanya.
Dalam buku ‘Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah (2008:4) yang melibatkan suku Rungus di mana terdapat pantang larang serta dendanya bagi pasangan yang sudah bertunang tetapi belum berkahwin.
Pasangan ini tidak boleh berjalan berdua-duaan kerana ianya dianggap sebagai perbuatan zina. Pelaku akan dikenakan denda sogit jika melanggarnya, iaitu denda adat seekor khinzir disembelih dan dimakan bersama-sama penduduk kampung.
Namun menurut Agnes, peraturan dan pantang larang ini sudah tidak diamalkan lagi oleh segelintir masyarakat etnik Rungus disebabkan oleh pengaruh dunia moden di mana pasangan itu bergaul secara bebas walaupun belum ada ikatan mahupun sudah bergelar tunang. Beliau berpendapat bahawa adat resam serta kepercayan nenek moyang masih lagi berkekalan sehinggalah pada masa kini.
Penulis: Mimi Marliani Abdul Main