Kota Kinabalu: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 287 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236,925 kes. Sebanyak tujuh (7) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga (3) kes di Tuaran, dua (2) kes di Lahad Datu manakala masing-masing satu (1) kes di Keningau dan Kota Belud. Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 359 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 227,425 orang. Manakala 1,087 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 533 orang di hospital, 544 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan (8) orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan dua (2) orang di fasiliti swasta. Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 49 orang merangkumi 48 di ICU/repurposed kritikal care serta satu (1) di open ward (HDW/kubikel akut) manakala 15 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Manakala bilangan pesakit stage empat (4) dan lima (5) yang masih belum lengkap vaksin ialah 33 (25.38%).
Datuk Masidi Manjun, Menteri Kewangan II berkata, setelah mencatatkan penurunan 66 kes kelmarin, jumlah kes di Sabah meningkat 24 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 287 kes.
“Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini dengan 57 kes (+10), diikuti Papar dengan 37 kes (+25) dan Ranau 33 kes (+19). Tuaran, Kota Belud dan Penampang mencatat penurunan jumlah kes harian walaupun pada skala yang kecil.” Tambahnya.
“Kebanyakan daerah mencatatkan jumlah kes di bawah paras 20 kes dengan 15 daerah hanya mencatatkan satu (1) angka sahaja. Tidak ada kes baharu di tiga (3) daerah.”
Seramai 54 orang (19%) daripada 287 pesakit hari ini melibatkan warga asing dan secara keseluruhan 132 pesakit (46%) adalah wanita. Hampir 20% daripada jangkitan hari ini melibatkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang belum layak menerima vaksin.
Datuk Masidi Manjun berkata, seramai 277 orang daripada 287 pesakit adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang mana pesakit dalam kategori ini hanya memerlukan pemantauan dan rawatan di rumah atau PKRC. Hanya seorang pesakit bagi setiap Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5. Kes yang melibatkan tujuh (7) lagi pesakit masih dalam penilaian lanjut JKNS.
“Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak (142) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan,” katanya.


