KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh diskaun 80 peratus pembayaran kompaun saman trafik sehingga 31 Disember depan.
Sebelum ini tempoh yang dijadualkan berakhir tengah malam ini, namun disebabkan sambutan yang menggalakkan di kaunter bayaran saman di seluruh negara. Pihak PDRM memutuskan untuk melanjutkan tempoh bayaran tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, menyatakan pelanjutan tempoh tersebut diberikan untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menjelaskan saman mereka.
Menurut beliau, sebanyak 2.3 juta saman sudah diselesaikan oleh orang ramai setakat ini dengan kutipan sekitar RM109 juta.
Acryl Sani berkata, pelanjutan tersebut adalah untuk memberi ruang kepada lebih ramai pesalah trafik melunaskan saman mereka yang tertunggak.
“Pelanjutan tersebut juga akan memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak di kaunter trafik seluruh negara,” tambahnya.
“Diskaun tersebut juga tidak bermakna semua pengguna jalan raya boleh memandang ringan akan keperluan mematuhi peraturan lalu lintas,” tambahnya lagi.