Kuala lumpur: Persidangan Dewan Rakyat mencatatkan sejarah pada selasa selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga sekaligus menukar terma Sabah dan Sarawak bukan lagi berstatus ‘negeri’.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, undi belah bahagian dilakukan susulan peruntukan 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.
Rang Undang-Undang tersebut mendapat sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekaligus mencatatkan lebih dua pertiga persetujuan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Direkodkan seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Isu berhubung kepentingan Sabah dan Sarawak berkait keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur asas turut disentuh oleh beliau, diperkatakan akan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan di bawah pengurusan jawatankuasa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963.
“Persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui rang undang-undang ini penting bagi membentuk asas kukuh dalam sebuah Keluarga Malaysia” katanya semasa menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut pada bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.
Wan Junaidi berkata, sebelum RUU itu dibentangkan, cadangan pindaan terlebih dulu dipersetujui kerajaan Sabah dan Sarawak, dengan cadangan pindaan itu dibawa ke Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 11 Oktober lalu dan dipersetujui di peringkat Majlis Khas Mengenai MA63 pada 18 Oktober dan Jemaah Menteri pada 20 dan 29 Oktober.


