KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 yang diadakan selama dua hari secara hybrid di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, semalam.
Perasmian itu juga diadakan di Zoom dan YouTube iaitu anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) bersama PETRONAS sebagai penaja utama.
Menurut Hajiji, persidangan itu tepat pada masanya kerana kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau yang teruk, kebakaran dan jerebu, kekerapan hujan lebat dan ribut hingga menyebabkan banjir serta ancaman terhadap keselamatan makanan kini semakin dirasai secara global.
“Sebagai komitmen mengurangkan kesan perubahan iklim, kerajaan negeri menyasarkan untuk menanam kira-kira 36 juta pokok yang merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia seluruh negara,” tambahnya.
“Setakat ini hampir 4.5 juta pokok telah pun ditanam di seluruh negeri,” tambahnya lagi.
Selain itu, Hajiji menyatakan Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah.
“Penubuhan tersebut adalah untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon,” jelasnya.
Hajiji berharap persidangan itu akan meningkatkan kerjasama dalam kalangan
pihak berkepentingan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam kedua-dua agenda iaitu perubahan iklim dan pemuliharaan.
Kesempatan itu, Hajiji mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak penganjur yang terlibat, serta ucapan setinggi terima kasih kepada PETRONAS yang menjadi penaja utama bagi program yang cukup penting ini.
Turut hadir dalam program tersebut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Ketua Penasihat Kerajaan dan Pengawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail, Pengarah SEARRP, Datuk Dr Glen Reynolds dan Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Berkaitan Perubahan Iklim, Datuk Darrel Webber.


