Kuala Lumpur : Pasukan Hoki Sabah layak ke saingan separuh akhir Divisyen 2 yang dijadualkan beraksi pada hari ini, jam 8 malam di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Malam ini, MSNS/PHS akan bertemu MBPJ Black Widow manakala MSSPP-PSHA menentang Kedah Eagle Juniors bagi memburu tempat ke final yang dijadualkan pada Ahad ini.
Kemenangan besar 10-0 MSNS/PHS ke atas Kedah Eagle Juniors semalam telah menjadi pelengkap rekod cemerlang MSNS/PHS yang memenangi kesemua tujuh perlawanan dengan 21 mata penuh. Selain mencatat jumlah jaringan yang cukup besar 43 gol dan hanya bolos 1.
Muhammad Saifuddin Azli muncul penjaring hatrik menerusi pukulan sudut penalti kini merupakan penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang rakan sepasukan Muhamad Salman Sudirman.
13 gol yang dijaringkan Salman Sudirman termasuk satu pada perlawanan semalam meletakkan beliau kini selaku pendahulu bagi penjaring gol terbanyak Divisyen 2.
Hasrul Jideh, jurulatih Persatuan Hoki Sabah mengharapkan pemain Sabah melakukan yang terbaik perlawanan pada malam ini, bagi mengesahkan ke perlawanan akhir.
Katanya, saingan di separuh akhir mungkin akan berbeza daripda peringkat kumpulan kerana masing-masing akan berusaha untuk ke peringkat akhir.
“Namun begitu, kami percaya dengan semangat sepasukan pemain dan semangat yang Presiden tiupkan sebelum bermulanya saingan separuh akhir baru-baru ini bakal dijelmakan dalam bentuk kejayaan malam ini,” tambahnya.
Selain itu, Hasrul Jideh berkata untuk pemain, beliau mengharapkan agar semua pemain bermain atas nama negeri Sabah.
“Buatlah yang terbaik. InsyaAllah pasti ianya akan menjadi sejarah paling gemilang untuk Persatuan Hoki Sabah pada Tahun 2021,” tambahnya
“Untuk penyokong Sabah, titipkan doa anda untuk pasukan negeri Sabah. Semoga semua pemain akan mengharumkan nama negeri Sabah,” tambahnya lagi.