KOTA KINABALU: Trend peningkatan kes harian di Sabah terus berlaku. Sabah telah mencatatkan 264 kes baharu, peningkatan sebanyak 33 kes berbanding semalam.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu masih lagi catat kes tertinggi iaitu 56 kes atau hampir 1/5 daripada jumlah kes di Negeri Sabah. Kluster Bahtera Kinabalu menyumbang 20 kes baharu bagi daerah Kota Kinabalu.
“Jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes dan penurunan kes agak setara, yakni masing-masing 11 daerah, yang membezakan ialah kadar peningkatan kes baharu dibeberapa daerah yang merekodkan pertambahan kes jauh lebih tinggi daripada kadar penurunan kes baharu, di daerah-daerah dimana kes harian telah berkurangan.
“Jumlah pertambahan kes baharu di Ranau ialah 23 kes dan di Tuaran 20 kes, penurunan yang paling banyak ialah 10 kes di daerah Beaufort. Jumlah kes di lima lagi daerah tidak berubah seperti sebelumnya dan tidak ada kes baharu di enam daerah.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, walaubagaimanapun, keberkesanan vaksin terbukti melalui statistik kategori pesakit-pesakit baharu yang rata-rata majoritinya sudah lengkap divaksin. Seramai 257 orang daripada 264 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.
“Pesakit-pesakit Kategori 1 dan 2 hanya sekadar mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital. Kes yang melibatkan tiga orang pesakit lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 264 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 240,796 kes dan tiada kes kematian dilaporkan.
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 150 (termasuk yang discaj dari hospital atau PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 233,690 orang. Manakala 642 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 327 orang di hospital, 314 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 42 orang merangkumi 36 di ICU atau repurposed kritikal care serta enam di open ward (HDW atau kubikel akut) dan 16 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 22 (26.19%).” Katanya dalam satu kenyataan media.
“Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 122 kes daripada Saringan Kontak Rapat,” katanya.
Masidi membuat kesimpulan bahawa masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.


