spot_img
HomeSemasaOrang Asli maut dibaham harimau

Orang Asli maut dibaham harimau

Gua Musang: Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, pada jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan maklumat itu kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Mangsa yang dikenali sebagai Anek Along, 59, dilaporkan keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi dikirakan pukul 9.10 pagi”

“Setelah menyedari kehilangan ayahnya selepas dipanggil berkali-kali, anak perempuan mangsa mendapati ada kesan darah pada daun-daun pokok berdekatan sebelum memanggil orang kampung untuk mencari bapanya di kawasan hutan dan telah ternampak seekor harimau berdekatan mayat mangsa,” jelasnya.

Penduduk dilaporkan bertindak membaling lembing ke arah harimau tersebut dan dipercayai terkena di bahagian muka menyebabkan haiwan itu melarikan diri.

Berikutan itu, orang kampung segera bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak PERHILITAN yang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, seramai 12 kakitangannya yang sedang berada di Kampung Tendrik, Pos Bihai bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu sebelum mengarahkan penduduk berada di dalam rumah masing-masing demi keselamatan mereka.

“Pada jam 12.15 tengah hari, kakitangan kami terserempak dengan harimau belang yang berada berhampiran dengan mangsa dan terpaksa melepaskan tembakan kerana harimau belang itu meluru ke arah mereka,” katanya.

“Bangkai harimau belang jantan yang dianggarkan berusia tiga tahun dengan berat 120 kilogram (kg) itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk tindakan selanjutnya”

Tambah Mohamad Hafid, pihaknya sedang menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai berikutan terdapat tiga ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak 10 Disember tahun lalu.

Sementara itu, mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan pasukan untuk dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular