spot_img
HomeSemasaPembinaan jalan Kalabakan - Serudung tingkat ekonomi sempadan

Pembinaan jalan Kalabakan – Serudung tingkat ekonomi sempadan

TAWAU: Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin meminta kerajaan pusat membangunkan jalan raya antara Kalabakan dengan Serudung sepanjang 39 km bagi menghubungkan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.

Projek pembinaan tersebut akan menjadi pengubah keadaan kepada pembangunan dan mampu meningkatkan ekonomi sempadan Malaysia, selari dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Sementara itu, beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa projek itu perlu dilaksanakan segera kerana ia akan memberi impak kepada Sabah khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut menegaskan jalan itu akan meningkatkan aksesibiliti rakyat Malaysia dan Indonesia, di samping meningkatkan keselamatan sempadan.

“Sebab itu saya dan pasukan telah melawat beberapa kemungkinan jajaran jalan untuk projek yang dicadangkan ini,” katanya selepas melawat Projek Empangan Air Cinta Mata di Gudang Empat Tawau.

Jelas beliau, Projek Empangan Air Cinta Mata yang bernilai lebih RM 400 juta akan siap sebelum penghujung tahun 2024 serta membekalkan air bersih kepada penduduk di Tawau.

“Projek itu tergendala kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga beberapa pekerja memerlukan permit kerja, namun semua isu telah diselesaikan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil inisiatif untuk menghantar lori tangki air agar air bersih dapat dibekalkan secara manual kepada penduduk terjejas.

Oleh itu, beliau menggesa penduduk supaya bersabar sedikit lagi kerana kerajaan sedang melakukan yang terbaik bagi melaksanakan pelbagai projek pembinaan berkaitan air untuk kepentingan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular