KOTA KINABALU: Sabah masih mencatatkan peningkatan kes COVID-19 di mana jumlah kes bertambah 27 kes kepada 280 kes berbanding hanya 253 kes semalam.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, beberapa daerah mencatatkan jumlah kes baharu yang lebih tinggi. Ranau mencatatkan peningkatan 22 kes baharu kepada 33 kes, Papar daripada 11 kes kepada 20 kes dan Kinabatangan daripada satu kes semalam kepada 26 kes hari ini.
Jumlah kes yang melonjak tinggi di Kinabatangan berpunca daripada Kluster Sungai Trayon yang merekodkan 25 kes positif baharu hari ini.
“Kluster baharu yang diisytiharkan hari ini melibatkan seorang pekerja ladang kelapa sawit warga asing. Saringan ke atas 382 pekerja dan kontak rapat mendapati 24 orang lagi telah dijangkiti COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tuaran mencatatkan jumlah penurunan kes terbesar sebanyak 18 kes, daripada 29 kes kelmarin kepada 11 kes sahaja pada hari ini.
Perubahan turun naik kes harian di daerah-daerah lain berlaku setiap hari pada kadar marginal. Tidak ada kes baharu di empat daerah.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, daripada 280 kes hari ini, 276 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, satu kes dalam Kategori 2, dua kes dalam Kategori 4 dan tidak ada kes baharu dalam Kategori 5. Satu kes lagi masih dalam penilaian lanjut JKNS.
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 280 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 243,238 kes. Satu kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Tuaran.
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 119 (termasuk yang discaj dari hospital atau PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 235,811 orang. Manakala 787 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 444 orang di hospital, 340 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara dan satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 36 orang merangkumi 33 di ICU atau repurposed kritikal care serta tiga di open ward (HDW atau kubikel akut) dan 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 26 (26.26%).
“Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 125 kes daripada Saringan Kontak Rapat,” katanya.
Masidi membuat kesimpulan bahawa masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.


