KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sedikit penurunan kes-kes baharu sebanyak 23 kes berbanding semalam. Jumlah kes baharu ialah sebanyak 257 kes.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes-kes baharu di Kota Kinabalu terus bertambah dengan 65 kes hari ini, 12 kes lebih tinggi berbanding semalam.
Secara keseluruhan lapan daerah merekodkan kes dua angka, 15 daerah mencatatkan kes satu angka dan empat lagi daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu.
“Terdapat 12 daerah mencatatkan penurunan kes harian dengan dua daerah, Kinabatangan dan Ranau merekodkan pengurangan yang agak baik masingmasing dengan 24 kes dan 18 kes lebih rendah berbanding semalam.
Sembilan daerah lagi mencatatkan peningkatan kes harian dengan tiga daerah menunjukkan peningkatan kes yang agak tinggi iaitu Tuaran (+22 kes), Kota Kinabalu (+12 kes) dan Sandakan (+10 kes). Sejumlah enam daerah kekal sebagaimana catatan semalam.
“Sebanyak 254 daripada 257 kes yang direkodkan adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat dua kes dalam Kategori 3 dan tiada kes dalam direkodkan dalam Kategori 4 dan 5. Pihak JKNS masih lagi membuat penilaian ke atas satu kes,” katanya dalam satu kenyataan media.
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 257 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 243,495 kes. Tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Keningau dan satu kes di Tambunan.
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 135 (termasuk yang discaj dari hospital atau PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 235,946 orang. Manakala 747 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 408 orang di hospital, 330 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara dan satu orang di fasiliti swasta.
Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 31 orang merangkumi 29 di ICU atau repurposed kritikal care serta dua di open ward (HDW atau kubikel akut) dan 11 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 27 (29.03%).
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 146 kes daripada Saringan Kontak Rapat.
Masidi membuat kesimpulan bahawa masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.