KUNAK: Pemandu kereta tunda mengalami detik cemas apabila kenderaan yang dibawanya tiba-tiba terbakar berdekatan kawasan Jalan Tingkayu, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.20 petang tadi sebelum mengarahkan pasukannya segera bergerak.
“Seramai lima anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera bagi operasi memadam.
Menurut Mohammad Omarbatha, kenderaan tersebut telah terbakar keseluruhannya apabila pihak mereka tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kenderaan tersebut sudah terbakar keseluruhannya namun operasi memadam terus dilakukan supaya api tidak merebak,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.
Mohammad Omarbatha turut mengesahkan tiada mangsa dalam kenderaan tersebut manakala pemandu kereta tunda berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami oleh pemilik kenderaan berkenaan,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.06 petang setelah pemeriksaan akhir dilakukan untuk memastikan lokasi kejadian selamat dan api telah terpadam sepenuhnya. – Utusan Borneo


