KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa pihak berkuasa berkenaan menjalankan pemeriksaan latar belakang terhadap seorang ahli politik Sabah yang didakwa mendapatkan dokumennya secara haram.
Presiden PBS, Maximus Ongkili berkata, pihaknya percaya bahawa negeri dan negara ini adalah milik rakyat Malaysia yang tulen dan parti itu akan menjadi penyokong kuat untuk membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.
“PBS turut prihatin terhadap dakwaan ahli politik tersebut yang telah memasuki negeri ini dari India pada 1984 dan memperoleh kad pengenalan enam tahun kemudian melalui cara yang meragukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS yang pertama untuk tahun ini.

Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak berkata, sayap Pemuda PBS akan membuat laporan polis tidak lama lagi mengenai perkara itu dan berharap siasatan akan dijalankan dengan segera.
“Kami ingin tahu cara ahli politik itu dapat kewarganegaraannya serta butiran-butiran yang lain agar tindakan sewajarnya boleh diambil,” tambahnya lagi.
Sementara itu, beliau menyatakan kedaulatan negeri dan negara perlu dilindungi kerana sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan harus dilakukan untuk kebaikan rakyat yang tulen. – The Borneo Post


