spot_img
HomeSemasaPenampang daerah ke-20, diisytihar kawasan wabak Demam Babi Afrika

Penampang daerah ke-20, diisytihar kawasan wabak Demam Babi Afrika

KOTA KINABALU: Susulan penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah, Penampang menjadi daerah ke-20 yang disyitiharkan kawasan penularan wabak tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, virus itu mula dikesan pada 14 Disember lalu, dan telah merebak ke lima buah kampung iaitu di Inobong, Sugud dan Koidupan.

“Kes-kes melibatkan sejumlah 229 khinzir yang diternak penduduk kampung, daripada enam pemilik yang berbeza. Kerugian dianggarkan membabitkan nilai RM115,000,” katanya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, Penampang mempunyai dua ladang ternakan khinzir komersial dengan anggaran sebanyak 2,900 ekor khinzir.

“Bagi mengelakkan virus ini tersebar ke daerah berhampiran, Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan menjalankan kempen kesedaran di daerah Penampang untuk memastikan rakyat mempunyai maklumat mengenai ASF,” tambahnya.

“Jabatan ini juga akan memantau dan mengawal pergerakan dan produk khinzir untuk memastikan tidak ada yang keluar dari daerah itu, buat sementara waktu,” tambahnya lagi.

Jeffrey berkata, sejak ia pertama kali diisytiharkan pada tahun lepas, sepuluh daerah telah diisytiharkan bebas wabak ASF selepas 60 hari sejak kes terakhir dilaporkan.

“Daerah-daerah ini antaranya ialah Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod, Tawau, Lahad Datu dan Semporna,” tambahnya.

Justeru itu, Jeffrey menyatakan kerajaan mengambil maklum kebimbangan rakyat, khususnya dengan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Pihaknya juga optimis bahawa bekalan daging khinzir di Sabah akan mencukupi untuk memenuhi permintaan,” tambahnya.- Awani

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular