KUALA LUMPUR : Bermula hari ini setiap transaksi pengeluaran wang antara bank menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM) akan dikenakan caj sebanyak RM1.
Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh beberapa bank sejak bulan Disember tahun lalu seperti Maybank, Bank Islam, CIMB, RHB Bank, Citibank dan HSBC.
Memetik perkongsian di Facebook Maybank pada 15 Disember lalu yang bertulis “Harap maklum mulai 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 untuk pengeluaran Wang Tunai Antara Bank di ATM akan dilaksanakan semula.Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank”.
CIMB turut memaklumkan perkara sama kepada pelanggan mereka.
Kenyataan memaklumkan berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 akan dikenakan keatas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/ CIMB Islamic.
“Anda masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM/ mesin layan diri kami,” tambah kenyataan itu.
Sebelum ini, kerajaan telah memberi pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.
Langkah tersebut bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1. – BH


