spot_img
HomeSemasaLengkap vaksin punca enggan ambil dos penggalak

Lengkap vaksin punca enggan ambil dos penggalak

PUTRAJAYA: Kelangkapan dua dos vaksin yang diambil sebelum ini dianggap sudah cukup untuk melindungi diri daripada jangkitan COVID-19 berkemungkinan menjadi sebab utama ramai individu enggan mengambil vaksin.

Kesan sampingan yang dialami selepas pengambilan dua dos vaksin sebelum ini juga mungkin menjadi punca ramai individu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum membuat keputusan mendapatkan dos penggalak.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata sebahagian besar perkongsian mengenai kesan sampingan selepas pengambilan dos penggalak amat membimbangkan membuatkan segelintir masyarakat lebih memilih untuk tidak mengambil dos penggalak.

Melihat kepada situasi teknologi masa kini, terdapat banyak berita palsu berkaitan dos vaksin yang diambil. Tambahan pula, nasihat daripada pihak kesihatan kian berkurang membuatkan galakan untuk pengambilan vaksin penggalak sangat rendah.

Dr Malina turut menjelaskan, banyak klinik dikatakan tidak memberi penerangan kepada individu yang menerima suntikan, berbeza ketika pemberian dos primer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum ini sedangkan masyarakat memerlukan santunan bahasa sebaik-baiknya.

Mengenai kebimbangan orang ramai termasuk yang mendakwa keluarga mereka mengalami kesan sampingan selepas mengambil dos penggalak hingga terlantar di hospital, Dr Malina berkata, bukti perlu diusulkan berserta data dan pengesahan masalah sebenar yang dialami pesakit.

Sementara itu, Pensyarah di Kluster Infektomik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Kumitaa Theva Das, berkata mesej juga perlu disampaikan dalam cara mudah difahami oleh masyarakat iaitu dos penggalak perlu diambil untuk terus selamat.

“Orang ramai perlu memahami virus COVID-19 terus bermutasi, maka selari perkembangan sains dan perubatan, kita perlu sentiasa mengambil tindakan terkini bagi memastikan diri dilindungi.”jelasnya.

Pada awal pandemik, virus ini sukar tersebar dan kurang agresif. Apabila pakar membuat kajian keberkesanan vaksin terhadap varian terutama Omicron, mereka mendapati dua dos utama tidak lagi memberi perlindungan tahap 95 peratus, malah berkurangan.

“Perlindungan menyusut selepas beberapa bulan, maka pengambilan dos penggalak bertujuan meningkatkan semula perlindungan badan,” katanya.

Beliau berkata, ujian awal vaksin COVID-19 terhadap strain virus pertama telah dilakukan di pelbagai negara dan kumpulan masyarakat untuk memastikan ia selamat dan berkesan.

Bagaimanapun, Dr Kumitaa berkata, apabila virus itu bermutasi, pakar mendapati vaksin keluaran AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech lebih berkesan terhadap varian baharu terutama Delta dan Omicron.

Sekiranya terdapat kegusaran mahupun kekeliruan untuk mengambil dos penggalak, sebaiknya individu perlu merujuk doktor atau jururawat di PPV mengenai apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas disuntik dan tidak boleh mempercayai sepenuhnya apa yang disebarkan di media sosial kerana ianya merupakan satu perkara yang belum pasti kesahihahnnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular