RANAU: sebuah lori dua tan terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Batu 3, Jalan Kundasang, semalam, menyebabkan dua orang lelaki, masing-masing cedera parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridhwan Taib berkata, selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.08 petang, sepasukan anggota serta pegawai dari BBP Ranau bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan lori dua tan yang membawa muatan peralatan hardware terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter.
Terdapat dua mangsa masing-masing pemandu dan kelindan berada di dalam kenderaan terbabit.
“Seorang mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu manakala seorang lagi mangsa yang tersepit, dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa pemandu parah di bahagian kepala dan kelindannya mengalami patah kaki,” katanya
Operasi ditamatkan pada jam 6.55 petang setelah memastikan lokasi kejadian selamat untuk pemandu lainnya.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal daripada anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.