PUTRAJAYA: Saban hari, kes harian COVID-19 terus mencatat peningkatan yang semakin membimbangkan dan angka yang dilaporkan terus meningkat dalam jumlah 5 angka.
Mengikut laporan harian, setakat ini sebanyak 27,831 kes baharu dilaporkan dan catatan harian belum menunjukkan kadar penurunan.
Angka ini adalah jumlah tertinggi sejak negara dilanda wabak COVID-19. Kali terakhir catatan kes tertinggi adalah pada 26 Ogos lalu, dengan rekod 24,599 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang sudah dijangkiti Covid-19 sebanyak 3,111,514.
Berkenaan catatan kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata 72.32 peratus atau 20,128 kes adalah pesakit dalam kategori dua atau bergejala ringan.
“Selain itu 27.33 peratus atau 7,606 kes pula adalah pesakit dalam kategori satu iaitu bergejala ringan, diikuti kategori tiga sebanyak 59 kes, kategori empat mencatatkan 28 kes dan kategori lima 10 kes,” katanya.
Melihat kepada peningkatan kes harian yang semakin bertambah, diharapkan agar individu terus mematuhi SOP yang telah digariskan pihak kerajaan serta terus mengambil langkah yang sewajarnya bagi membantu mengekang penularan wabak ini.