KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kini mengumumkan bahawa individu yang mahu mengerjakan solat lima waktu berjemaah dan solat Jumaat di masjid atau surau dibenarkan walaupun tidak lengkap dos penggalak.
Mufti Sabah, Aziz Jaafar, berkata pihaknya hanya mewajibkan rakyat Sabah yang menerima dua dos vaksin COVID-19 memasuki masjid atau surau bagi melaksanakan solat berjemaah. Individu yang masih belum menerima atau mengambil dos penggalak tetap dibenarkan untuk berjemaah di masjid dan surau.
Setakat ini kita tidak mewajibkan dos penggalak sebagai syarat memasuki masjid atau surau, sebaliknya sudah memadai jika individu sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.
“Ini bermakna sesiapa yang masih belum menerima dos penggalak juga dibenarkan masuk ke masjid,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberitahu pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah untuk menambah kapasiti jemaah di masjid atau surau kepada 50 peratus.
Merujuk kepada laporan peningkatan jumlah harian kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini, satu pekeliling dikeluarkan yang menetapkan hanya 150 jemaah atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau bagi masjid negeri, masjid bandaraya, Masjid bahagian iaitu Tawau dan Sandakan dan masjid daerah.
Bagi masjid dan surau lain dihadkan maksimum 100 atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau.
“Pihak kami telah mengadakan mesyuarat semalam dan mengemukakan cadangan supaya kapasiti masjid dan surau ditambah kepada 50 peratus dan diharapkan cadangan ini dipertimbangkan sebaiknya,” jelasnya lagi.
Walaubagaimanapun cadangan itu masih belum ada kata putus daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah dan keputusan itu masih ditunggu.
Beliau turut menambah pihaknya juga akan melakukan pemantauan semula laporan harian kes COVID-19 di Sabah berdasarkan perkembangan semasa agar segala kemungkinan yang tidak diinginkan dapat dikawal sebaiknya.