Yogyakarta: Seorang wanita berusia 24 tahun menerima wang pampasan sebanyak 3.5 bilion rupiah (RM1.02 juta) daripada Badan Tanah Negara Klaten, susulan tanah miliknya diambil oleh pihak pemaju bagi pembangunan jalan tol Solo-Yogyakarta.
Menurut Kompas.com, pembayaran itu melibatkan pengambilan tanah dan bangunan seluas 0.07 hektar milik Tantriana Nikmatul Isna di Desa Pepe, Kecamatan Ngawen.
“Tanah saya ini melibatkan dua rumah dan sebuah kandang lembu dengan keluasan 0.07 hektar. Saya memiliki sebuah rumah, manakala, sebuah rumah lain milik sepupu dan terletak berdekatan,” katanya.
Katanya, dia tidak berasa terkejut dengan pengambilan aset miliknya kerana sudah mengetahui rancangan pembangunan tersebut sejak kecil.
Tantriana yang bekerja di Perpustakaan Daerah Istimewa Yogyakarta memilih untuk menggunakan wang tersebut membeli rumah baharu, walaupun ramai jurujual yang menawarkan dirinya membeli kereta.
“Saya fikir perkara lebih penting masih banyak dan perlu digantikan beli rumah baharu. Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perolehan Tanah, Badan Tanah Negara Klaten, Sulistiyono berkata, bayaran pampasan melibatkan 45 bidang tanah bagi penduduk di tiga kampung kawasan itu.
Jelasnya, tiga kampung iaitu Senden mempunyai empat bidang tanah, Pepe (23 bidang tanah), dan Manjungan (18 bidang tanah).
“Jumlah nilai wang yang dikeluarkan hari ini kira-kira 45 bilion rupiah (RM13 juta) dan bagi individu lain mereka masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa,” katanya. -Utusan Malaysia